KULIM: Seorang kakitangan Klinik Kesihatan Mahang maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas kilang di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Ladang Dublin, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Mohd Rozaidi Salleh, 27 tahun berasal dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata hasil siasatan awal mangsa yang memandu kereta PROTON Saga dalam perjalanan dari arah Kulim menghala ke Mahang, manakala bas kilang yang membawa beberapa pekerja dalam perjalanan dari arah Mahang ke Kulim.

“Siasatan awal menunjukkan apabila tiba di tempat kejadian, mangsa di percayai hilang kawalan kereta yang di pandunya sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas terbabit.

“Akibat pertembungan itu kereta yang dipandu mangsa rosak teruk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum di keluarkan oleh anggota bomba.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya di hantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarganya, manakala pemandu bas dan penumpang tidak mengalami kecederaan” katanya.

Ahmad Nasir berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech, Penolong Penguasa Bomba, Hamizul Azuan Hamdan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.43 pagi tadi.

Katanya, sebuah jentera serta sebuah ambulan Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa tersepit di kerusi pemandu.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta dengan sebuah bas kilang dan pemandu kereta terbabit tersepit di tempat pemandu.

“Anggota bomba kemudian mengunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa,” katanya ketika di hubungi hari ini.