GUA MUSANG: Seorang penunggang motosikal menemui ajal selepas melanggar musang di Kilometer 41 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, awal pagi tadi.

Ahmad Ab Aziz, 30, tinggal di FELDA Chiku 3, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri, menghala ke Kuala Krai untuk pulang ke rumah di Chiku 3.

Beliau berkata, mangsa terlanggar musang yang melintas jalan dan motosikalnya hilang kawalan, lalu terbabas dan terbalik di tengah jalan.

“Mangsa luka di kepala. Siasatan awal mendapati mangsa tidak memakai topi keledar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat Ahmad dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.