PUTRAJAYA: Seorang warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dikejar anjing liar di Kampung Baru Dengkil, dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad, berkata wanita berusia 65 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu ditemui terbaring di simpang empat jalan masuk Kampung Baru Dengkil dan Taman Baiduri Dengkil.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi, ketika kejadian dia terdengar salakan anjing yang kuat sebelum melihat mangsa sedang berjalan perlahan menghala ke Taman Baiduri Dengkil dan terjatuh.

“Saksi terus menghubungi pihak ambulans untuk tindakan lanjut sebelum disahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Md Noor Aehwan berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

“Hasil laporan bedah siasat dapati punca kematian adalah akibat serangan jantung,” katanya.