SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan, dekat Nilai di sini petang ini.

Mangsa berusia 32 tahun yang merupakan kelindan sebuah lori tercampak keluar daripada kenderaan itu dan terjatuh daripada ketinggian lima meter ke laluan bawah lebuh raya tersebut.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 petang membabitkan sebuah lori dan van.

Katanya, kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu di lorong paling kanan oleh seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Melaka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kenderaan itu kemudian melanggar sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu di lorong paling kiri oleh seorang lelaki berumur 38 tahun bersama seorang kelindan berumur 32 tahun.

“Pelanggaran tersebut mengakibatkan lori itu terbabas ke kiri dan melanggar besi penghadang kiri jalan.

“Pemandu lori mengalami kecederaan dalaman dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban manakala kelindan lori tercampak keluar dari lori dan terjatuh ke laluan bawah iaitu Jalan Nilai – Salak serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fazley, pemandu van bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE