ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri ditemui terapung, kira-kira 0.5 batu nautika barat muara Kuala Kedah, dekat sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim, Mahmad Faizal Ahmad, berkata mayat berkenaan ditemui seorang nelayan ketika melalui kawasan itu sebelum Balai Polis Kuala Kedah melaporkan penemuan itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jam 10.35 pagi.

Katanya, Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah kemudian menggerakkan sebuah bot bersama empat anggota ke lokasi itu.

“Mayat kemudian dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berhubung kehilangan ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Mayat itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk bedah siasat – berita harian