JOHOR BAHRU: Mayat mangsa bunuh, S Silvaraja, 59, sudah diuruskan oleh keluarganya bagi upacara pembakaran di Krematorium Kebun Teh di sini, tengah hari ini.

Seorang kenalan keluarga mendiang yang enggan dikenali berkata, proses pembakaran berjalan lancar.

Katanya, jasad rakan mangsa iaitu ibu tunggal, K Kamala, 51, yang turut ditemui mati di tingkat tiga Blok 11, Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) jam 9 pagi semalam dijangka tiba di krematorium petang ini.

“Kami masih terkilan dengan kejadian menimpa mangsa dan rakannya. Keluarga mangsa yang sepatutnya meraikan Deepavali minggu depan, kini berkabung dan sedih,” katanya.

Semalam, Kamala yang bekerja sebagai pekerja bahagian pembersihan bersama Silvaraja ditemui mati akibat ditetak dan dikelar.

Kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam kelmarin dan tidak disedari oleh jiran mangsa.

Kejadian menimpa kedua-dua mangsa hanya diketahui selepas anak perempuannya pulang bekerja dari Singapura pada jam 9 pagi semalam – berita harian