IPOH: Mayat dua mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun di sini, awal pagi semalam, telah dituntut oleh keluarga masing-masing, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, bedah siasat kedua-dua mayat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selesai kira-kira jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, mayat mangsa lelaki, Ooi Chee Wei, 39, dicam oleh isterinya, manakala wanita, Lee Tze Juin, 32, dicam oleh adik perempuannya.

“Kedua-dua mereka dari Kuala Lumpur, yang lelaki merupakan pegawai di sebuah syarikat jualan minyak dan gas, manakala mangsa wanita merupakan ejen hartanah.

“Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan bedah siasat mendapati kebanyakan kecederaan berpunca daripada dihempap dinding tembok dan juga tanah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dikatakan baru tiba di Ipoh pada hari kejadian dan dipercayai atas urusan kerja.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi Selasa, bahagian belakang sebuah vila di resort eksklusif itu dihempap tanah runtuh yang dipercayai ekoran hujan berterusan sejak malam sebelumnya.

Pasukan penyelamat menemukan mangsa lelaki pada 9.55 pagi disusuli mayat wanita beberapa minit kemudian.