KUANTAN: Mayat dua rakan yang lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, di sini, kelmarin, ditemui pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata mangsa, Muhammad Ikhbal Abu Bakar Chandran, 24, ditemui jam 7.45 pagi tadi, kira-kira 500 meter dari lokasi dia hanyut.

“Mayat rakannya, Dola Kamarudin, 32, pula ditemui jam 10 pagi tadi kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa sudah diserahkan kepada polis sebelum dihantar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihentikan sebaik kedua-dua mayat ditemui.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Ahad lalu, Muhammad Ikhbal bersama Dola dihanyutkan arus sungai yang datang secara mendadak sebelum hilang.

Mangsa bersama enam rakannya dikatakan menaiki van ke kawasan rekreasi itu kira-kira jam 2 petang untuk berkelah dan mandi pada hujung minggu – berita harian