PASIR SALAK 20 Dis. – Mayat seorang lelaki yang mereput dan tersangkut pada pokok di Sungai Kinta dekat kawasan Sungai Galah di Kampung Gajah, ditemukan oleh orang awam semalam.

Mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30 ke 40an yang hanya berseluar jeans itu dipercayai telah meninggal dunia sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan mayat itu, kira-kira pukul 6 petang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mayat berkenaan masih berada di dalam sungai, dalam keadaan tertiarap tanpa baju.

“Selepas dibawa naik ke darat, mayat didapati diikat dengan tali pada kaki kanannya. Tali tersebut pula diikat pada ‘carrier’ sebuah motosikal jenis Kriss yang dipercayai dijadikan sebagai pemberat bagi menenggelamkan mayat.

“Terdapat kesan kelar pada leher mangsa dan dua kesan luka di belakang kepala mangsa. Berat badan mangsa dianggarkan kira-kira 50 kilogram dengan ketinggian 153 sentimer,” katanya, di sini malam tadi.

Mohamad Zainal berkata, identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan termasuk di kawasan sekeliling.

Menurut beliau, lokasi kejadian ialah kawasan sungai yang bersebelahan dengan hutan sawit dengan jarak perjalanan ke jalan besar adalah sejauh kira-kira dua kilometer ke dalam, melalui denai becak.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan saudara mara atau mempunyai maklumat berkaitan, supaya tampil bertemu dengan pegawai penyiasat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE