MANJUNG: Mayat lelaki yang terjatuh dari bot nelayan ketika menjala ikan di muara laut berhampiran Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dekat sini, semalam, ditemui pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa yang dikenali sebagai Azrin Hamidun berusia dalam lingkungan 30 tahun, ditemui pada 8.25 pagi.

Katanya, mayat mangsa ditemui kira-kira 4 kilometer dari tempat dia dipercayai jatuh, oleh nelayan yang turut serta dalam operasi pencarian.

“Anggota bomba membawa naik mangsa ke tebing dan menyerahkannya kepad pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, media melaporkan, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.28 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi.

Jarak mangsa dipercayai jatuh dari tebing dianggarkan sejauh 1 kilometer.