BINTULU 20 Jun – Seorang lelaki warga emas dijumpai mati dalam parit berhampiran sebuah kedai makan di Jalan Desa Damai di sini, awal pagi ini.

Mayat Tiong Boh Chiong, 77, tahun ditemukan oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kira-kira pukul 1 pagi.

Ketua Polis daerah, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan anggotanya telah pergi ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan tentang penemuan mayat tersebut.

“Polis terpaksa meminta bantuan pasukan bomba untuk mengangkat keluar mayat mangsa dari parit sedalam kira-kira dua meter itu.

“Mayat yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Beliau berkata, setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kematian mangsa agar menghubungi polis bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE