KUALA KANGSAR: Pencarian hari ketiga penoreh getah warga Indonesia yang hilang di Sungai Perak berhampiran Kampung Padang Changkat di sini akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa dalam keadaan terapung.

Mangsa, Husen, 44, ditemukan pada jam 10.05 pagi oleh nelayan yang turut serta dalam pencarian itu, dalam jarak tiga kilometer dari mangsa dipercayai terjatuh.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, antara agensi yang terlibat dalam operasi pencarian itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Unit K9 JBPM.

“Operasi pencarian diteruskan pada jam 8 pagi tadi dengan radius pencarian diperluaskan kepada 12 kilometer dari mangsa dipercayai terjatuh.

“Kekuatan logistik melibatkan sebuah bot bomba, sebuah bot APM dan lima buah bot nelayan.

“Mangsa berjaya ditemui dalam jarak tiga kilometer dari mangsa dipercayai jatuh pada jam 10.05 pagi oleh nelayan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya lagi, anggota penyelamat kemudiannya membawa naik mangsa ke tebing dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.20 tengahari.

Sebelum ini media melaporkan, seorang penoreh getah warga Indonesia dikhuatiri lemas terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran Kampung Padang Changkat, Ahad lalu.

Mangsa dikenali sebagai Husen, 44, yang bekerja sebagai penoreh getah dipercayai menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dan disyaki terjatuh ke dalam sungai.