ALOR GAJAH: Misteri kehilangan remaja lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin selepas menjala ikan di Pantai Kuala Sungai Baru, di sini, terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di perairan Tanjung Dahan, hari ini.

Mayat Khairul Azhar Aziz, 19, ditemui sekumpulan nelayan, sebelum dibawa naik oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan pada jarak 0.4 Batu Nautika Tanjung Dahan, jam 11.35 pagi tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud, berkata mayat mangsa dibawa naik ke Jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar Kuala Linggi, jam 12.12 tengah hari.

“Pusat operasi maritim menerima laporan daripada nelayan mengenai penemuan mayat itu dan sekumpulan anggota digerakkan ke lokasi untuk membawanya naik.

“Pada masa sama, kita turut menerima laporan kehilangan seorang remaja yang kita percaya ada kaitan dengan penemuan mayat berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengecaman sudah dilakukan oleh ibu mangsa sebelum mengesahkan mayat adalah anak bongsunya yang dilaporkan hilang.

“Khairul Azhar dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya untuk menjala ikan, kira-kira jam 10 pagi kelmarin,” katanya – berita harian