BINTULU: Penduduk rumah panjang di Batu 8, Jalan Bintulu-Miri di sini, dikejutkan dengan penemuan mayat tanpa identiti dalam parit, pada jam 5.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata mangsa dipercayai mati dua atau tiga hari berdasarkan keadaan fizikal mayat itu yang sudah kembang dan mulai mereput.

Beliau berkata, pihaknya meminta bantuan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bagi mengeluarkan mayat terbabit kerana keadaan parit yang berlopak dan dipenuhi air.

“Siasatan terperinci akan dijalankan oleh pegawai penyiasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa sama ada ada unsur khianat, bermotifkan dendam atau sebaliknya. Kita masih menunggu keputusan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zulkipli berkata, saksi yang melihat kejadian pembuangan mayat di kawasan itu diminta menghubungi atau tampil membuat laporan ke balai polis berdekatan bagi memudahkan siasatan.

“Saya menyeru kepada mana-mana keluarga yang mendapati ada dalam kalangan ahli keluarga yang sudah lama tidak pulang ke rumah supaya menghubungi polis bagi tujuan proses pengecaman mayat,” katanya.

Mayat berkenaan sudah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Bintulu di sini, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.