PARIT BUNTAR: Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung kira-kira tujuh kilometer dari pantai di perairan Tanjung Piandang, di sini, petang semalam.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Mohamad Zainal, berkata pihaknya menerima maklumat penemuan mayat itu jam 5.25 petang daripada nelayan.

Katanya, pihaknya ke lokasi dengan sebuah bot peronda dan menggunakan tali serta jaket keselamatan bagi mengangkat mayat itu ke dalam bot.

“Mayat berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Polis Marin, Kuala Kurau dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mayat berkenaan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis terdekat bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya – berita harian