Manjung: Isu jenazah yang dikatakan tidak dituntut selama lebih seminggu di bilik mayat Hospital Seri Manjung selesai apabila mayatnya telah pun dituntut waris iaitu abang arwah.

Allahyarham Rosli Abdul Latif, 59, telah dituntut abangnya dan disempurnakan Sabtu lepas selepas kisah mengenai mayat arwah yang dikatakan tidak dituntut menjadi tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asistern Komisioner Muhd Hanif Othman berkata arwah didapati telah dihantar ke klinik kesihatan kerana mengalami sesak nafas oleh anak angkatnya.

Katanya arwah yang menghidap penyakit Tibi kemudiannya dirujuk ke hospital namun meninggal dunia keesokan harinya.

“Pihak polis kemudiannya menerima laporan daripada pengurusan hospital pada 10 Januari lepas mengenai kematiannya dan polis terus melakukan tindakan mengesan waris arwah.

“Bagaimanapun, seorang individu yang berniat baik telah menyeru netizen untuk membantu mengesan waris arwah dengan memuatnaik berita berkaitan kematian arwah di media sosial.

“Jenazah arwah akhirnya dituntut abang kandungnya pada 13 Januari lepas,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Hanif berkata, isu tersebut menjadi tular selepas netizen mendakwa jenazah arwah telah berada di bilik mayat lebih seminggu tanpa ada waris datang menuntut untuk disempurnakan sehingga mengundang simpati netizen.

Menurutnya, walaupun tindakan itu merupakan niat murni namun tindakan berkongsi maklumat sedemikian boleh mengundang pelbagai spekulasi.

“Polis juga ingin memberi nasihat kepada netizen agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi sebarang “post” tanpa kesahihan, atau mudah mempercayai semua berita yang ditularkan kerana boleh menyebabkan keresahan masyarakat malah lebih buruk lagi, memberi imej negatif kepada individu terlibat,”katanya lagi.