KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita yang dikerat enam dan ditemui dalam dua buah beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak pada 5 Julai lepas adalah warga Bangladesh.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa berusia 29 tahun itu turut mempunyai seorang suami dikenali sebagai Md Shahzada Saju, 37.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lelaki terbabit yang juga warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kematian isterinya itu.

“Polis kini sedang mengesan seorang saksi iaitu suami mangsa bagi membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil.

“Lelaki terbabit adalah saksi bagi kejadian ini pernah bekerja di kedai makan di ibu negara itu kini berada di Johor,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bukit Jalil, di sini hari ini.

Mengulas berhubung perkembangan kes tembak di Taman Maluri, Cheras, Jumaat lalu, Mazlan berkata, suspek yang melakukan tembakan berkenaan dipercayai adalah individu upahan.

“Polis tidak tolak kemungkinan wujud elemen peras ugut membabitkan kewangan dalam kes berkenaan.

“Dua gambar lelaki yang ditemui di lokasi kejadian tembakan dikenali sebagai Datuk Poh Kiat dan Kelvin kini sedang dikesan untuk diambil keterangan,” katanya.

Katanya, polis kini masih belum menerima laporan penuh berhubung kaitan kes di Taman Maluri dan sebuah kelab malam di ibu kota sebelum ini.

“Bagaimanapun polis kini sedang menunggu laporan forensik berhubung kedua-dua kejadian tembakan berkenaan,” katanya – berita harian