BATU GAJAH: Mayat wanita warga Indonesia ditemukan bersama bayi lelaki baru lahir yang masih bernyawa di sisinya di sebuah pondok dalam kebun sawit di Jalan Parit, Kampung Piandang, Pusing dekat sini, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Yanti Abas,35, dipercayai meninggal dunia semasa melahirkan anak di pondok tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, mangsa ditemui dalam keadaan berselimut dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lima jam.

Katanya, pihaknya menerima panggilan dari orang awam mengenai penemuan mayat itu pada jam 6.30 petang semalam.

“Pasukan siasatan sampai di lokasi pada Ahad kira-kira jam 6.45 petang dan mendapati terdapat seorang bayi lelaki masih hidup telah dijumpai atas pangkin di lokasi di sisi si mati.

“Pihak polis sampai di tempat kejadian mendapati si mati telah ditutup mayatnya dengan sehelai kain dan bayi yang dilahirkan dalam keadaan telah dipotong tali pusat dan uri.

“Dipercayai ada orang yang bersama si mati semasa dia melahirkan bayinya, pasukan forensik telah dihubungi bagi bantuan siasatan dan tiada sebarang unsur perlakuan jenayah dikesan di lokasi kejadian dan tubuh badan si mati,”katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, tiada saksi semasa pasukan polis tiba di lokasi kejadian untuk disoal siasat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa dan bayi yang dilahirkan.

Katanya lagi, bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainon Ipoh esok selepas keputusan swab test covid 19 diperoleh.

“Simati telah dikenalpasti identitinya dan dicam melalui salinan dokumen surat nikah Indonesia.

“Bayi yang dijumpai di tempat kejadian masih hidup dan diserahkan kepada pihak Hospital Batu Gajah untuk pemeriksaan lanjut,”katanya.

Adnan berkata, pihak kedutaan Indonesia dan Interpol turut dimaklumkan mengenai kematian mangsa untuk dibawa balik ke negara asal bagi urusan pengebumian.

Jelasnya siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan suami atau waris mangsa.

Punca kematian, masih belum diketahui memandangkan post mortem akan dijalankan esok.