IPOH – Mayat seorang warga emas ditemui dalam keadaan mengerikan apabila kepala, kaki, tangan dan badannya ditemui tertanam secara berasingan di belakang rumanya yang terletak di Kampung Kanthan Baru, Chemor, sebentar tadi.

Mayat Yo Su Kim, 74, ditemui di beberapa lokasi berbeza dalam jarak 12 meter, di mana kepala, tangan dan kaki ditanam secara berasingan manakala badanya dicampak di dalam pembentungan belakang rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, susulan penemuan itu, anak mangsa berusia 52 tahun telah ditahan dan merupakan suspek utama dalam kejadian.

“Suspek sebelum itu terserempak dengan anggota polis dalam keadaan mencurigakan tidak berapa jauh dari rumah, dia cuba patah balik, jadi kami tahan dia, selepas soal siasat dia bawa anggota ke rumah.

“Ketika di dalam rumah, anggota menemui kesan darah dan sebagainya, suspek kemudiannya tunjuk pula bahagian belakang rumah yang mana kita telah jumpa pula satu kepala manusia yang telah dipenggal.

“Difahamkan, suspek telah beberapa kali dimarahi bapanya kerana menghisap ice (Syabu) dalam rumah selepas tiga bulan tiada kerja, suspek kontraktor sebelum ini dan kita syak, dalam keadaan khayal suspek mengambil tindakan drastik membunuh bapanya,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambah beliau, suspek juga telah menunjukkan senjata yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah terbabit.

“Supek juga telah tunjuk senjata iaitu sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan untuk memotong tubuh mangsa dan ia ditemui di sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan darah.

“Kami masih belum dapat mengesahkan mayat mangsa telah dikerat berapa, usaha mencari kesemua anggota badan mangsa masih diteruskan dengan bantuan Bomba,” ujarnya.

Difahamkan mangsa yang mengalami sakit tua dan lumpuh itu tinggal bersama suspek sejak beberapa tahun lalu.

Siasatan lanjut masih dijalankan di tempat kejadiaan.