IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu merakamkan penghargaan beliau terhadap petugas jabatan dan agensi terlibat dalam memastikan kelancaran trafik di seluruh negara lebih-lebih lagi pengorbanan mereka bertugas pada 1 Syawal

Katanya, peningkatan mendadak jumlah kenderaan setiap kali menjelang musim perayaan merupakan satu sebab utama pengawasan dan pemantauan khusus perlu dilaksanakan agensi berwajib.

“Bagi pihak saya dan rakyat negeri Perak, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang berkaitan, yang terpaksa bekerja lebih masa di musim-musim perayaan ini.

“Kita faham pengguna lebuhraya meningkat dengan begitu mendadak, justeru saya amat hargai peranan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malysia, kakitangan Perbadanan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan semua pihak terlibat yang bertugas bagi mamastikan kelancarkan perjalanan orang ramai untuk pulang berhari raya,”katanya kepada pemberita dalam sidang media.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada pengguna lebuhraya di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal juga ingin menegaskan mengenai keutamaan penggunaan tali pinggan keledar untuk anak-anak kecil terutamanya yang ditempatkan di kerusi hadapan kenderaan.

“Melalui pemerhatian, saya dapati ramai pengguna lebuhraya yang hendak pulang ke kampung tidak mengamalkan ciri keselamatan, ada beberapa ibu bapa yang saya tegur kerana tidak mengikat tali keledar.

“Ini satu perkara amat penting, untuk keselamatan anak-ana. Dalam kita menggunakan peluang untuk balik berhari raya ini, jangan pula kita lupa mengenai diri kita, keluarga kita dan ingatlah mereka yang tersayang yang menanti kunjungan kita di kampung halaman untuk menyambut hari raya,”katanya lagi.

Tegasnya,sesetengah pihak yang menggunakan “childseat” itu juga meletakkan tali pinggang untuk mengikatnya dan ianya merupakan satu perkara yang berbahaya.

“Kita semua maklum bahawa 80 peratus kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian kita sendiri, kecuaian manusia jadi kita harap semua akan ada usaha untuk mengurangkannya,”katanya lagi.

Turut hadir, penganjur program, skuad Srikandi Ipoh Barat dan dibantu bersama Srikandi Tambun dan Gopeng.

Sebanyak 600 bungkusan diedarkan kepada pengguna Plaza tol berkenaan sejak 10 pagi tadi.

Turut hadir, Isteri Menteri Besar Dr Nomee Mohd Radzi dan penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

1/4