Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu hari ini menyokong keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuka kertas siasatan ke atas sekumpulan lelaki yang “menyerbu” sebuah kedai serbaneka di Gugusan Manjoi,dekat sini.

Menurut Ahmad Faizal, kejadian yang berlaku pada 24 Mei itu berlaku apabila lelaki-lelaki tersebut berniat untuk menghentikan kedai berkenaan daripada terus menjual minuman keras.

“Kedaulatan undang-undang adalah asas perlembagaan negara yang memelihara hak asasi kesemua rakyat di Malaysia dan pendekatan yang sama harus diambil di Perak.

“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, mereka yang ingin mendaftar ketidakpuasan mereka terhadap apa-apa isu boleh melakukannya melalui saluran yang betul dan tidak mengambil tindakan sendiri,”katanya dalam kenyataan media di sini,hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau menyokong sepenuhnya penyiasatan oleh pihak polis dan memohon kepada semua pihak terbabit untuk melakukan perkara yang sama.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah,Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dilaporkan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan (Pencerobohan) untuk insiden berkenaan.