TANJUNG TUALANG: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) membuka Rumah Ngaji di Tapak Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5) bagi menyahut seruan untuk memperkasakan interaksi komuniti dengan al-Quran.

Ia sekaligus menjadikan MB Inc. sebagai anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Perak pertama yang telah menyahut seruan untuk menubuhkan Rumah Ngaji.


Penubuhan Rumah Ngaji bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti tempatan dalam usaha pemantapan kekuatan rohani selain mewujudkan masyarakat baca, faham dan amal Al-Quran.


Menurut kenyataan MB Inc, rumah ngaji itu dirasmikan Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Islam Menteri Besar Perak, Mohammad Azri Naim Mohd Kamal.

Hadir sama Penasihat Rumah Ngaji Negeri Perak Datin Normah Hanum Ibrahim dan Ketua Pegawai  Eksekutif Warisan Ummah, Marhaini Yusoff.

Menurut kenyatan itu lagi, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan perkhidmatan berfokuskan rakyat, MB Inc. bukan sahaja amat menitik-beratkan kepada pembangunan ekonomi, tetapi juga amat komited kepada aspek pembangunan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat setempat.
 

“Justeru, penubuhan Rumah Ngaji MB Inc. @ TT5 ini adalah inisiatif bertepatan dengan hasrat MB Inc. untuk membantu komuniti setempat dalam membudayakan ilmu dan aspek kerohanian dengan memahami dan mengamalkan ajaran murni Islam yang terdapat dalam al-Quran,” kata kenyataan itu hari ini.


 Menurutnya, pemilihan TT5 sebagai lokasi rumah ngaji juga sebagai penghargaan pihak syarikat kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk Tanjung Tualang yang telah banyak membantu dan menyokong pembangunan dan pengurusan MB Inc. di kawasan ini.
 

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama strategik dengan Rumah Ngaji Perak dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).

“Bantuan kewangan di dalam menjalankan projek ini adalah atas usaha pengusaha Rumah Ngaji.

“Yayasan WUI tidak menyediakan sebarang peruntukan kewangan kerana yayasan sendiri bergerak atas tajaan individu dan dana sumbangan orang ramai,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, Yayasan WUI akan memberi sokongan dalam bentuk promosi, pengalaman, sinergi sesama pengusaha serta pelajar dan latihan jika perlu.

Sehubungan itu, katanya, kelas mengaji dan program-program ilmu di RumahNgaji MB Inc. @ TT5 ini ditanggung dan dibiayai oleh MB Inc.

Kelas-kelas akan diberikan secara percuma kepada komuniti disekitar Tanjung Tualang.  

Kumpulan sasar adalah terbuka kepada mereka yang berumur dari 6-90 tahun yang ingin membaca dan memahami asas al-Quran.

Tenaga pengajar pula terdiri tenaga pengajar yang bertauliah yang dipilih dari penduduk tempatan yang telah mendapat pensijilan mengikut modul yang telah ditetapkan oleh pihak Rumah Ngaji.
 

“Penubuhan Rumah Ngaji MB Inc @ TT5 ini, sedikit sebanyak diharapkan akan mendekatkan kapal korek kepada orang ramai yang ingin tahu industri perlombongan bijih timah yang sesuatu ketika dulu telah membawa hasil ekonomi yang lumayan ke negeri Perak.

“Kapak Korek TT5 yang berumur 83 tahun merupakan satu satu kapal yang masih ada di negara ini. Ianya menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang akan merasai dan memahami sejarah kapal korek dan industri perlombongan bijih timah.
 

“Semoga usaha murni penubuhan Rumah Ngaji MB Inc.@TT5 ini, dapat mengukuhkan lagi kesatuan hati dalam usaha melahirkan masyarakat yang berakhlak sesuai tuntutan yang dinyatakan di dalam Al-Quran,” kata kenyataan itu.