IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) tampil menyalurkan bantuan kepada 407 keluarga dan petugas barisan hadapan di Taman Pinji Mewah yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Strategik MB Inc, Siti Kamesah Bee Md Hashim berkata, pihaknya menghulurkan bantuan berupa kotak makanan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan penduduk dan petugas terbabit.

Katanya, sumbangan itu sebagai menyahut seruan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya syarikat berkaitan kerajaan negeri tampil meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Oleh itu, MB Inc. hari ini tampil membantu meringankan beban penduduk yang diletakkan di bawah PKPD.

“Program ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami untuk sentiasa proaktif membantu penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam majlis penyerahan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan di sini, Siti Kamesah Bee menyampaikan kotak keperluan itu kepada Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah, Razimah Ramli.

Manakala, Pegawai Bertugas, Inspektor Nurul Shafinaz Saud pula menerima sumbangan bagi pihak petugas barisan hadapan.

Bermula 1 Disember lalu, Taman Pinji Mewah telah diletakkan di bawah PKPD selama 14 hari ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di kawasan tersebut.