IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) dalam satu majlis khas yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Hotel WEIL di sini pada Khamis.

MB Inc adalah antara agensi yang terawal di Perak yang menyahut seruan SPRM dengan mengambil inisiatif menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau ‘Corruption-Free Pledge’.

Majlis dihadiri sama Pengarah SPRM Negeri, Datuk Nooraziah Abd Manaf dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak, Ahmad Shukri Mohammad Taib.

Menurut Nooraziah, IBR berbeza berbanding Ikrar Integriti Korporat kerana ia memberi penekanan kepada ikrar serta janji warga MB Inc sebagai individu untuk menjunjung tanggungjawab serta akauntabiliti bagi menjauhi diri daripada terlibat dengan sebarang godaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tindakan warga MB Inc menandatangani ikrar ini, jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat,” katanya.

MB-Inc-Ikrar 4

Sementara itu, Aminudin berkata, sejak dari mula penubuhan, MB Inc telah menekankan budaya kerja berintegriti di mana nilai perkongsian adalah berteraskan C.R.E.S.T (C-Cleanliness & Commitment, R- Respect & Responsible, E- Economical & Enthusiasm, S- Secrecy & Safety and T-Trustworthy & Timeliness).

Menurut beliau, segala urusan atau keputusan adalah berteraskan nilai integrity yang tinggi dimana pematuhan dan proses yang ketat harus dilalui didalam memertabatkan nilai-nilai integriti.

“Pihak MB Inc dan Kumpulan Amanjaya Holdings amat serius, tidak akan bertoleransi dan akan mengambil tindakan yang tegas jika didapati terdapat salah laku seperti melanggar disiplin atau penyalahan guna kuasa,” tegas beliau.

Katanya, rasuah bukan sahaja mencemarkan maruah malah marosakkan keseluruhan sistem nilai dalam sesebuah negara, organisasi dan masyarakat.

“Oleh itu, harapan saya agar MB Inc terhindar daripada jenayah rasuah yang sememangnya merupakan suatu tegahan agama dan social,” ujarnya.

Sementara itu di dalam sidang media kemudiannya, Aminudin berkata, kakitangan MB Inc sentiasa ditekankan mengenai intergriti sejak mula diambil bekerja dengan perbadanan.

IDR itu dipimpin sendiri Aminudin sebelum sesi menandangani ikrar yang disaksikan Nooraziah.