KUALA LUMPUR, 30 DIS : Tindakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan gerai peniaga disifatkan sebagai tidak berakal dan berhati perut terutama dalam keadaan rakyat berdepan dengan penularan Covid-19.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, apa yang dikesalkan walaupun MBSJ  menyediakan tapak perniagaan sebagai ganti kepada gerai yang diroboh,  ia tidak menepati standard dan tidak dilengkapi dengan kemudahan termasuk air.

Sehubungan itu, beliau mencabar  Menteri Besar Selangor Datuk Seri  Aminudin Shari dan Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan untuk bersemuka dengannya esok dengan membincangkan masalah terbabit dengan lebih terperinci.

“Kalau Amiruddin anak jantan kita jumpa Khamis (esok).  Rakyat tengah susah sekarang. Kenapa gerai ini yang bertahun-tahun orang meniaga perlu dirobohkan waktu sekarang? Kita sedang berperang dengan Covid-19 lagi.

“Adakah mata mereka buta atau pekak? Pakai otaklah sikit. Sepatutnya belajar dengan Wilayah Persekutuan bantu peniaga. Ini sediakan tapak pun macam tempat letak kereta,” katanya selepas melawat tapak gerai yang dirobohkan di Puchong Permai hari ini.

Sebanyak 43 penjaja terkesan selepas MBSJ merobohkan gerai makanan yang beroperasi sejak 20 tahun lalu kelmarin.

Dalam pada itu, Noh berkata, tapak perniagaan  lama yang pernah terbakar sebelum ini sepatutnya boleh  dibangunkan untuk membantu peniaga terbabit.

“Adakah tapak kosong itu ada orang ‘target’ nak buat bangunan? .Bantulah peniaga kecil Jangan hanya nak tolong peniaga yang senang-senang sahaja,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE-