IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menzahirkan rasa pilu dan sayu atas tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran al-Ittifaqiyah, Keramat yang mengorbankan 25 penghuninya.
Perasaan sedih tersebut dikongsi melalui tweet beliau @DrZambryOfficial sejurus laporan mengenai tragedi menyayat hati itu tersebar.
“Pilu dan sayu (dengan) kisah 25 terkorban di Pusat Tahfiz Darul Quran al-Ittifaqiyah, Keramat. Al-Fatihah. Masa untuk merenung kisah-kisah sedih seperti ini,” kata beliau melalui tweetnya itu.
Tweet tersebut dibalas dengan saranan pengikutnya agar semua pusat tahfiz di Perak mempunyai perakuan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Dr Zambry kini berada di China untuk lawatan kerja tiga hari bermula semalam ke Nanning, ibu negeri Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.