IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengambil tindakan mahkamah ke atas seorang pesara guru yang tinggal di dalam timbunan sampah di rumahnya di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya menerima aduan mengenai tindakan individu tersebut menyimpan sampah di rumahnya sejak tahun 2017 lagi.

Menurutnya, sehingga kini lebih 10 aduan diterima termasuk melalui surat menyurat dan aplikasi WhatsApp dengan tiga kali kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh MBI termasuk satu yang dibuat sendiri oleh pemilik kediaman tersebut.

“MBI memutuskan untuk mengambil tindakan mahkamah setelah mendapat nasihat daripada Penasihat Undang-Undang MBI dan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Perkhidmatan Bandar, Landskap dan Aduan Awam pada bulan Ogos 2020 lalu.

“Perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang telah dibuat untuk pihak MBI meneruskan Operasi Penghapusan Kacau Ganggu bagi pembersihan sampah di luar kawasan kediaman supaya tidak bercanggah dengan proses tindakan mahkamah pada 9 Oktober tertakluk kepada pematuhan notis oleh pemilik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Pembersihan dan Nyah Kuman Premis Makanan di Pusat Perdagangan Greentown di sini hari ini.

Rumaizi berkata, selain itu pihak MBI juga telah mengeluarkan Notis Mengkehendaki Kacau Ganggu Dihapuskan kepada individu berkenaan sebanyak enam kali, selain mengenakan kompaun berjumlah RM250.