IPOH – Buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggunakan pendekatan bajet defisit dalam merangka dan menyediakan Bajet Tahunan bagi tahun 2021 atas dasar peduli warga kota dalam mengharungi fasa pemulihan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, selain itu, keseluruhan bajet bandaraya bagi tahun 2021 yang berjumlah RM236 juta dengan defisit RM10 juta bertujuan bagi memastikan pembangunan yang substantif dapat dilaksanakan untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.

Menurutnya, bajet itu melibatkan pecahan 88 peratus atau RM208 juta untuk perbelanjaan mengurus dan 12 peratus atau RM28 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan sosial.

Katanya, MBI menjangkakan akan memperolehi hasil pendapatan sebanyak RM220 Juta dengan peningkatan sebanyak RM 14 juta bersamaan dengan enam peratus peningkatan berbanding unjuran pendapatan bagi tahun 2020.

“Antara penyumbang utama kepada pendapatan Majlis bagi Bajet tahun 2021 adalah daripada Hasil Cukai iaitu sebanyak RM150 juta bersamaan dengan 68 peratus.

“Anggaran peningkatan bagi hasil cukai ini adalah berdasarkan kepada pertambahan bilangan pegangan harta hasil dari pertumbuhan perancangan pembangunan di Bandaraya Ipoh.

“Manakala penyumbang kedua terbesar adalah Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 52 juta bersamaan dengan 24 peratus dan disusuli oleh Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 18 juta bersamaan dengan lapan peratus” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan ucapan Bajet 2021 MBI yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook majlis tersebut di sini.