IPOH, 9 Januari: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, setakat ini, tiada sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan PKP di Perak.

“Belum ada sebarang perbincangan atau permakluman berkenaan perlaksanaan PKP oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Namun, MBI akan bersedia dan patuh sekiranya PKP kembali dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Gaya Hidup Sihat dan Penanaman Pokok di Padang Taman Rishah Indah di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, dalam pada itu, pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) di premis perniagaan masih terus dijalankan di sekitar bandar raya Ipoh.

Katanya, hasil daripada kawalan dan pemantauan yang dilakukan, MBI mendapati ia berjaya menurunkan bilangan kes positif di Ipoh.