IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperkenalkan kempen ‘Satu Bayi, Satu Pokok’ dalam usaha mengembalikan semula amalan masyarakat Melayu terdahulu untuk menghijaukan alam sekitar.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, amalan itu bukanlah suatu perkara baharu kerana ia pernah menjadi amalan masyarakat terdahulu sebagai simbolik kepada hubungan di antara manusia dan alam.

Menurut beliau, mengikut amalan lama itu, jika seorang bayi dilahirkan, maka keluarganya akan menanam sebatang pokok.

“Dari segi saintifik, sememangnya seorang bayi yang dilahirkan memerlukan oksigen dan untuk memastikan oksigen itu bertambah, pokok-pokok perlu diperbanyakkan,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Executive Talk & Perhimpunan Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat MBI di Dewan Bandaran Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria, bekas Ahli-Ahli Majlis 2016, Ahli-Ahli Majlis Masyarakat Sivil (MMS) dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).

Zamri sangat mengalu-alukan penyertaan orang ramai, khususnya warga bandar raya Ipoh dalam menghidupkan kembali amalan itu.

“Kita akan mewar-warkan perkara ini menerusi Jabatan Landskap kepada masyarakat Ipoh, selain itu orang ramai juga boleh beli pokok dan sumbangkan kepada pihak MBI untuk ditanam di kawasan yang sesuai.

“Konsep kita mudah, di mana ada tanah di situ kita tanam…banyak contoh yang kita boleh lihat seperti jalan dari Lumut ke Ipoh, begitu cantik pemandangannya apabila masuk ke kawasan itu seperti juga di Simpang Pulai,” ujarnya.

Beliau memberitahu, terdapat 12 jenis pokok yang dikenalpasti sesuai bagi pelaksanaan kempen itu dengan mengambil kira kos dan ketinggiannya.

“Kalau mengikut pokok yang ditanam dahulu termasuk pokok Kaya, Tembusu, Yellow Flame dan Merawan, yang pasti semua pokok yang kita sediakan untuk warga Ipoh beli bagi tujuan kempen ini adalah dengan harga berpatutan,” katanya.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Zamri mahu warga MBI membantu merealisasikan fokus 2017 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam amanat tahun baru 2017 awal tahun ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua warga bandaraya yang telah membantu menjayakan program sepanjang tahun lalu sehingga MBI memenangi 16 anugerah pada 2016.

Dalam majlis tersebut, Zamri turut menyampaikan sumbangan hamper kepada warga MBI yang akan menyambut Tahun Baru Cina di samping jemputan lain seperti ketua-ketua jabatan, media, MMS dan JPP