IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperkenalkan pakej pelancongan dalam kawasan Segitiga Pelancongan Ipoh bagi membantu meningkatkan semula sektor itu yang terkesan teruk dengan pandemik COVID-19.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kawasan itu yang merangkumi Gunung Lang, Padang Ipoh dan persekitarannya seperti Taman D.R. Seenivasagam dan Kampung Kuchai yang akan dibangunkan sebagai Kampung Warisan Melayu.

Menurutnya, beberapa projek sedang dilaksanakan di Bandar Raya Ipoh yang dijangka siap pada awal tahun hadapan.

“Antaranya adalah Petting Zoo di Gunung Lang, Kinta Riverwalk, light and sound features di Padang Ipoh dan sukan ekstrem dan rekreasi di Gunung Masoorat,” katanya ketika berucap ketika sesi townhall pelancongan dan belia di sini, hari ini.

Beliau berkata, MBI turut memainkan peranan dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan agensi-agensi berkenaan untuk merancang projek-projek yang menjurus kepada industri pelancongan, sekali gus dapat menyediakan peluang pekerjaan di Bandar Raya Ipoh khasnya dan di negeri Perak amnya.


“Penganjuran sesi Townhall ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dari para pemain industri pelancongan dan juga para belia untuk mendapatkan idea–idea serta memastikan projek yang akan dibangunkan atau laksanakan oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta bertepatan dengan kehendak semasa,” ujarnya.


Menurutnya, sesi Townhall Pelancongan, ia akan memberi tumpuan kepada situasi yang dialami kini, bagaimana semua pihak dapat bekerjasama untuk mempromosikan produk-produk pelancongan, menyediakan medium jaringan hebahan dan langkah-langkah kesiapsiagaan yang diambil untuk bersedia menerima pelancong-pelancong dari luar negara sebaik sahaja sempadan dibuka semula.


Katanya, dalam sesi Townhall Belia pula, para belia akan berkongsi pengalaman dan success story dalam bidang yang diceburi seperti perniagaan restoran, butik, pertandingan e-sports termasuk juga dari jurulatih-jurulatih dan atlet-atlet yang telah mencapai kemenangan di peringkat antarabangsa.

Datuk Bandar berkata, penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan hidup orang ramai bukan sahaja di negara, ini malah di seluruh dunia.

Katanya, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bilangan pemohon pekerjaan telah semakin meningkat tetapi iklan kekosongan pekerjaan semakin berkurangan.

“Menurut beliau setiap empat daripada sepuluh pekerjaan bergantung kepada industri pelancongan yang merupakan agensi paling terkesan akibat COVID-19,” katanya.


Beliau menambah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan industri pelancongan telah mengalami kerugian sebanyak RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama.

“Sektor perkhidmatan seperti penerbangan, perhotelan, hiburan dan rekreasi adalah antara sektor yang paling teruk terjejas dan ramai yang kehilangan pekerjaan termasuk golongan belia,” ujarnya.


Bagaimanapun, katanya, melalui usaha gigih Kerajaan yang sentiasa prihatin telah menyediakan pelbagai pakej kewangan untuk membantu sektor-sektor perniagaan dan pelancongan membangunkan semula industri berkenaan.

Rumaizi berharap, maklumat dan maklumbalas yang diperolehi dari sesi itu dapat digunakan dengan sepenuhnya untuk menangani masalah yang dihadapi, memperbaiki segala kekurangan dan meningkatkan lagi usaha untuk mencapai visi dan misi yang ditetapkan.