IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Perak yang melaksanakan sesi cabutan bertuah cukai taksiran tahun 2020 secara dalam talian pada petang Jumaat.

Menurut kenyataan MBI, sesi telah diadakan mengikut SOP yang ditetapkan setelah tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Program cabutan bertuah itu telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu.  

Menurut kenyataan itu, tahun ini, MBI memperuntukkan RM103,000 untuk pembelian hadiah-hadiah menarik seperti keteta Proton Saga 1.3 MT, motosikal, peralatan elektrik dan perkakasan rumah yang menarik.

“Ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak Majlis kepada pembayar-pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka pada Bandaraya Ipoh,” kata kenyataan itu hari ini.
 
Menurutnya, tahun ini jumlah pembayaran setahun telah menunjukkan peningkatan sebanyak 14.5% iaitu 18,472 bil daripada 148,174 bil yang telah dibayar setahun berbanding pada tahun 2019 iaitu 129,702 bil.

“Jumlah bayaran lebihan pada tahun ini juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 23.7% iaitu sebanyak RM 39.45 juta berbanding tahun lepas yang berjaya mengutip sebanyak RM 31.9 juta,” ujarnya.
 
Cabutan bertuah telah dijalankan serentak oleh Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin dan tiga pengarah kanan MBI bagi 330 slip cabutan bertuah iaitu 300 slip hadiah saguhati dan 30 slip hadiah-hadiah utama.
 
Dalam ucapannya, Datuk Bandar merakamkan penghargaan kepada wargakota Ipoh yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan pembayaran bil cukai taksiran ini.
 
“Semoga sokongan warga kota terhadap MBI akan berterusan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya yang Bersih, Hijau dan Maju,” katanya.