IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan operasi meroboh struktur premis usang yang digunakan untuk tujuan perniagaan kecil-kecilan, stor dan bilik serta ruang yang tidak digunakan.

Menurut kenyataan MBI, operasi fasa 2 itu turut dihadiri Ahli Majlis MBI, beberapa pengarah bahagian serta wakil agensi-agensi penguatkuasaan dan penyedia utiliti.

Katanya, kehadiran mereka bagi memastikan operasi tersebut berjalan lancar dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Langkah awal telah dilaksanakan termasuklah penyerahan notis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133) kepada pemilik sturktur dan penampalan notis roboh di premis tersebut, sesi perjumpaan dan penerangan kepada peniaga yang ada, sesi menawarkan tempat perniagaan baru kepada mereka, penampalan notis pemakluman tindakan roboh di lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang amat baik daripada semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

Katanya, operasi ditamatkan pada 12 tengahari dan akan disambung semula dalam fasa 3 pada masa hadapan yang belum ditetapkan.

“Operasi ini adalah susulan daripada operasi fasa 1 yang lalu pada 8 Julai lalu, yang melibatkan dua struktur yang telah dirobohkan, tanpa sebarang gangguan di lokasi yang berhampiran,” ujarnya.