IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan diskaun 75 peratus bayaran kompaun kesalahan trafik sempena Sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke-29.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, tempoh tawaran itu adalah selama dua minggu bermula 1 Jun ini.

Katanya, bagaimanapun, diskaun itu hanya diberikan untuk kesalahan tidak mempamerkan kupon atau meletakkan kenderaan di luar petak.

“Bagi kesalahan lain, ianya adalah tertakluk kepada diskaun dan prosedur pengurangan sedia ada.

“Diskaun ini bertujuan untuk meringankan beban warga Ipoh bagi melunaskan tunggakan bayaran kompaun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI pada Rabu.

Katanya, MBI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di mahkamah terhadap pesalah tegar yang tidak merebut peluang itu untuk menjelaskan tunggakan kompaun.

Bayaran kompaun boleh dibuat di Kaunter Bayaran MBI, Kaunter Bayaran Jalan Bandar, Kaunter Bayaran MBI di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh dan Kaunter Pandu Masuk MBI.

Untuk semakan kompaun, orang ramai boleh menyemaknya di Kaunter 1 Serve yang terletak di Lobi Bangunan MBI, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh.