IPOH, 24 DIS: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Saarani Mohamad di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Mohamad berkata, sekalung tahniah juga diucapkan kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang baru dilantik.

“Saya bagi pihak Ahli Majlis dan warga kerja MBI merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang baru dilantik.

“Semoga barisan kepimpinan negeri Perak Darul Ridzuan yang baru dan mantap ini akan membawa negeri Perak ke arah negeri maju dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI di sini, hari ini.

Saarani, 59, dilantik menjadi Menteri Besar Perak ke 14 bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 Disember lalu.