ALOR SETAR : MCA perlu menerima hakikat bahawa pada masa ini parti itu belum cukup kuat dan menerima sokongan daripada masyarakat Cina berbanding DAP, apatah lagi orang Melayu, untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Sehubungan itu, penganalisis politik, Dr. Rusdi Omar berpendapat, adalah wajar parti komponen Barisan Nasional (BN) ini beralah dan membiarkan UMNO meletakkan calon mereka.

Kata beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), MCA perlu memahami bahawa majoriti pengundi di Tanjung Piai adalah orang Melayu iaitu melebihi 56 peratus.

“Saya melihat trend pengundi pada masa ini adalah seperti mana yang berlaku semasa PRK Cameron Highlands iaitu untuk meraih sokongan orang Melayu. Malah MIC sanggup beralah agar calon UMNO diletakkan di kawasan ‘tradisi’ mereka.

“Persoalan lain, jika MCA tetap berkeras hendak meletakkan calon mereka di Tanjung Piai, adakah lebih 2,000 orang pengundi Pas di situ, akan memberikan sokongan,” soalnya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Rusdi, beliau turut melihat PRK Tanjung Piai nanti akan menjadi pentas terbaik menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap sama ada Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

Malah beliau menjangkakan persaingan sengit akan berlaku sekiranya kedua-dua parti itu meletakkan calon masing-masing.

“Lebih-lebih lagi selepas UMNO dan Pas menandatangani Piagam Muafakat Nasional baru-baru ini. Kita mahu lihat sejauh mana orang Melayu menyokong kerjasama antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini,” kata beliau.

Kawasan Parlimen Tanjong Piai mempunyai seramai 53,528 pengundi dengan pecahan kaum 56.80 peratus (Melayu), 41.64 peratus (Cina), 1.01 peratus (India) dan lain-lain kaum 0.55 peratus.

Pada 21 September lalu, Ahli Parlimen Tanjung Piai yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Farid Md. Rafik, 43, meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Pontian, Johor.

Allahyarham bertanding atas tiket Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan menewaskan Datuk Wee Jeck Seng daripada MCA.

– UTUSAN ONLINE