KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) hari ini, mengesahkan seorang kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dijangkiti virus COVID-19 selepas pulang daripada membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam kenyataannya, Media Prima memaklumkan kakitangan terbabit kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

“Kakitangan berkenaan baru pulang daripada menjalankan tugasan editorial di Sabah pada 30 September lalu dan menjalani ujian mandatori COVID-19 dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kakitangan berkenaan juga menjalani kuarantin sukarela di rumah sejak pulang dari Sabah, sebelum didapati positif COVID-19,” katanya kenyataan itu lagi.

Media Prima kini bekerjasama rapat dengan KKM dan sudah mengambil langkah-langkah pencegahan bagi meminimumkan potensi jangkitan kepada kakitangan lain.

“Kakitangan terbabit sememangnya menjalani kuarantin sukarela di rumah dan tidak pernah berada di premis-premis Media Prima sejak pulang dari Sabah.

“Media Prima akan memberikan segala sokongan diperlukan kepada kakitangan terbabit dan mendoakan beliau diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Kumpulan itu menegaskan yang Media Prima mengutamakan keselamatan kakitangannya dan kesemua mereka yang pulang daripada tugasan di Sabah, sudah menjalani ujian mandatori COVID-19 dan kini menjalani kuarantin sukarela 14 hari di rumah. – BH Online