TANJUNG MALIM – Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyuarakan kerisauannya terhadap situasi ketika ini yang menampakkan golongan LGBT dari kaum melayu lebih menyerlah berbanding kaum-kaum lain di negara ini.

Beliau berkata, golongan LGBT di negara ini dilihat seolah-olah seperti dimajoritikan oleh orang Melayu sendiri sedangkan agama Islam menentang sifat-sifat berkenaan.

“Kita tengok LGBT sekarang yang ketara adalah orang Islam, walaupun kita tahu ramai orang bukan Islam ada juga tapi nampaknya (mereka) tak begitu menyerlah, yang menyerlah ialah orang Melayu, ini yang susah ini,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menandatangani Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) dan Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) di sini, hari ini.

Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran pesta arak Oktoberfest dan terbaru, penganjuran sesi bertemu peminat ikon LGBT Thailand yang telah dibatalkan di mana ia dijadualkan berlangsung di Muzium Negara pada 20 Okt nanti.

Tambah beliau, peningkatan budaya maksiat termasuk LGBT di negara ini perlu ditangani secara bijak melalui asas pendidikan bermula dari ibu bapa.

Katanya masalah sosial tersebut bukanlah perkara baharu dan sudah ada undang-undang bagi mencegahnya namun masih banyak yang tidak dilaksanakan.

“Undang-undang yang ada sekarang ini alhamdulillah baik, tapi itupun banyak yang tidak terlaksana lagi. Jadi apa yang penting adalah asas pendidikan.

“Ibu adalah guru. Bapa adalah asas membangunkan manusia. Justeru perlu dididik dari rumah terlebih dahulu oleh ibu bapa dengan asas agama dan akhlak,” jelas beliau.

Menurut Harussani lagi, beliau sendiri sudah menghadapi isu LGBT sejak 1968 dengan memberi ceramah kepada golongan berkenaan.

“Sebenarnya perkara ini (LGBT) bukan baru dan banyak juga badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan pemulihan golongan seperti ini, namun malangnya terdapat NGO yang menggunakan nama islam tetapi menentang ajaran Islam dan mengatakan ajaran islam serta al-Quran sudah ketinggalan zaman.

“Manusia diberikan akal dan nafsu di mana perlu menggunakan akal untuk membuat pertimbangan menghadapi nafsu dan apa yang penting adalah pendidikan dari peringkat awal,” katanya.