PUTRAJAYA: Memakai pakaian tradisional kaum-kaum lain tidak menjadi satu kesalahan bagi umat Islam dengan syarat menutup aurat.

Begitulah yang ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, jika memakai pakaian tradisional lain hanya satu amalan budaya, ia tidak menjadi kesalahan.

“Kalau dalam Islam, mesti menutup aurat. Ia kena ada terma-terma pakaian yang diizinkan.

“Yang penting, pakaian itu tidak menyerupai dalam bentuk keagamaan yang berlainan dengan agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan peringkat agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu memakai pakaian tradisional pelbagai kaum bagi menunjukkan rasa perpaduan di antara masyarakat berbilang etnik sempena menyambut Hari Kebangsaan.

Baru-baru ini, pelakon dan pengacara, Mira Filzah turut menerima kecaman netizen dalam media sosial berikutan menggayakan sari, pakaian tradisional India.

Tambah Zulkifli, memakai pakaian tradisional kaum-kaum lain dibenarkan dengan menekankan konsep kesopanan dan tatasusila.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli memberitahu, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sambutan Hari Kebangsaan tetap penting sebagai satu warisan sejarah.

Katanya, sambutan itu untuk mengagungkan dan memuliakan perjuangan nenek moyang dalam memerdekakan negara daripada belenggu penjajah.

“Apa yang kita zahirkan pada hari ini, alhamdulillah dengan kerjasama daripada semua pihak dan pelbagai bangsa, maka kita dapat mengatur negara kita ke aras kecemerlangan.

“Ia sebagai bukti jelas dan nyata bahawa kita dapat menylesaikan isu Covid-19 walaupun masih lagi bertarung, tetapi pengawalan yang kita lakukan dengan pelbagai usaha, kita bersatu padu,” ujarnya. – UTUSAN