PEMANDU bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini, atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan pekerja kilang tahun lalu.

Tertuduh, M Ravinderan, 38, minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Anas Mahadzir.

Mengikut kertas pertuduhan, Ravinderan pada 6.10 pagi 24 Oktober 2017, didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan lapan pekerja kilang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 147 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim meminta mahkamah menetapkan ikat jamin setimpal dengan kesalahan tertuduh.

Susulan itu, Muhammad Anas kemudian membenarkan ikat jamin RM6,000 ke atas tertuduh bersama seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 24 Oktober tahun lalu, lapan wanita iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga tempatan maut selepas bas dinaiki mereka yang mengalami kerosakan dirempuh bas dipandu tertuduh – berita harian