JOHOR BAHRU: “Mak cik tahu tak ayah saya mati kena langgar dengan perempuan bawa kereta laju-laju? Saya nak jumpa dia dan tanya kenapa tidak brek dan langgar ayah saya.”

Demikian kata-kata anak sulung anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan Mohd. Rizal Suberi iaitu Nur Amani Raudhah Mohd. Rizal, 5, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist ketika mengunjungi keluarga itu di Kota Tinggi semalam.

Farrah Faridah memberita­hu, kunjungan yang dilakukan bertujuan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada keluarga mangsa di rumah mereka di Bandar Tenggara, Kulai, hari ini.

Berkongsikan pertemuan dengan isteri mangsa, Nurul Asyiken Amir, katanya, wanita itu dilihat kuat dan reda dengan pemergian suaminya, Mohd. Rizal yang meninggal dunia setelah kereta dipandunya dirempuh kereta Myvi dipandu Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, dalam kejadian Sabtu lalu.

“Dia memberitahu, kadang-kadang dia menangis kerana tidak boleh nak sorok perasaannya. Tapi apabila anak sulung­nya berkata, mama janganlah rindu papa, nanti dia pun rindu, terus dia kuat semula.

“Mereka baru sahaja tinggal bersama-sama sejak awal tahun ini kerana suaminya jarang ada di rumah kerana bertugas. Cuma, kali ini terasa sedih kerana suaminya yang selalu pulang ke rumah selepas kerja tidak lagi pulang buat selamanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Farrah Faridah dimaklumkan bahawa Mohd. Rizal sebelum ini pernah ditugaskan ke Lubnan selama setahun sebelum bertugas di Pengerang, Kota Tinggi dan juga terlibat sebagai petugas barisan hadapan dalam menjaga sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Farrah Faridah turut diberi­tahu bahawa anggota tentera itu memang rapat dengan ayah mentuanya, malah, sentiasa berdua ketika pergi ke mana-mana.

“Pada hari kejadian, Nurul Asyiken tahu arwah hendak menghantar bapanya pergi ke mesyuarat, cuma, dia hairan kerana arwah berdiam diri sahaja, tidak bercakap apa-apa.

“Asyiken berkata, selalu sebelum keluar, suaminya akan peluk dan cium anak-anaknya terlebih dahulu, tapi kali ini dia tidak berbuat demikian,” ujarnya. – UTUSAN