AIRNYA yang memutih memercikkan titisan sehingga terbitnya pelangi di bawah sinaran lembut matahari pagi. Bak pepatah Cina “Mencurah dari ketinggian 3000 kaki seolah-olah jatuhnya galaksi dari langit” begitulah gambaran yang boleh dibuat apabila menyaksikan keindahan Lata Tengkoh Penyel.

Kebanyakan daripada kita tidak menyedari mengenai kewujudan air terjun ini. Terletak di Kampung Pendeq, sebuah perkampungan Orang Asli suku Temiar di Sungai Siput, air terjun semulajadi setinggi 60 meter ini merupakan permata alam yang belum digilap.

Bagaimana hendak ke sini? Akses ke Lata Tengkoh Penyel mudah cuma ia mengambil masa yang agak lama kerana lokasinya yang jauh.

Untuk ke Sungai Siput, ada dua jalan masuk utama iaitu Ipoh dari arah Selatan dan Kuala Kangsar dari Utara. Laluannya dari Ipoh ialah Sungai Siput Utara > Lintang > Perlop > Kg. Bawong > Pos Yum.

Tempoh pemanduan dari Ipoh ialah dua hingga tiga jam melalui jalan negeri laluan A19 atau A20 yang bertar menuju ke Kg. Bawong yang seterusnya membawa pengunjung ke Pos Yum.

Apabila sampai di Kampung Pendeq, pengunjung boleh meletakkan kenderaan dengan bayaran RM10.

Kemudian, pengunjung perlu berjalan kaki ke Lata Tengkoh Penyel selama 15 minit. Laluan ke air terjun ini mudah dan bertanda.

Memandangkan lokasinya di pedalaman, pengunjung disyorkan membawa makanan, tuala, lampu suluh dan keperluan peribadi yang lain kerana tiada kedai runcit yang berdekatan.

Setibanya di gigi air terjun, keindahan kejadian alam semulajadi ini yang setinggi 60 meter sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Bagi penggemar alam semulajadi dan peminat fotografi, sudah tentu Lata Tengkoh Penyel ini mimpi indah yang menjelma menjadi kenyataan di depan mata.

Air terjun ini sememangnya lokasi bergambar yang berbaloi untuk dijejaki.

Latanya yang sejuk dan cetek di kaki air terjun menjadikannya sesuai untuk mandi-manda yang selamat bagi kanak-kanak dan dewasa.

Pondok-pondok buluh yang dibina di sepanjang tebing lata ini dengan latar belakang air terjun yang tinggi menjadikkannya lokasi bergambar yang sangat cantik, sesuai untuk rakaman foto dan video Instagram dan Facebook.

Bagi pengunjung yang mahu bermalam, chalet buluh dan rotan di homestay berdekatan. Kadar bayaran penginapan ialah antara RM60 hingga RM80 semalam.

Ada juga meja dan pondok khas untuk BBQ serta aktiviti berkumpulan yang lain.

Pondok Homestay Pos Yum ini dikendalikan oleh masyarakat Orang Asli.

Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelami kehidupan mereka dengan lebih dekat, selain menggalakkan pelancongan di kawasan pedalaman ini.

Untuk menikmati percutian dikelilingi keindahan alam semulajadi yang mempersonakan di Lata Tengkoh Penyel, pengunjung boleh terus memandu ke Kampung Pendeq dan rasailah sendiri kehidupan tanpa kerisauan ini.

Selayaknya, tempat sebegini indah wujud di alam bunian, hanya pari-pari penghuninya. Kita manusia cuma pengunjung sementara di sini!