IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan hadiah kepada pemenang Ujian Tilawah Al-Quran Online peringkat remaja negeri Perak hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berbesar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri bercadang untuk meneruskan program itu di masa-masa akan datang dengan beberapa penambahbaikan seperti tambahan kategori dan peringkat.

“Saya kira perkara ni elok dibuat kerap supaya lebih ramai dapat ambil bahagian dan sebagainya. Boleh dibuat juga di semua peringkat, di peringkat negeri, peringkat daerah dan sebagainya.

“Dengan sokongan daripada orang ramai, tentunya perkara ini dapat diperbaiki lagi, ditambah baik dan diperbesarkan ke pelbagai kategori,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Amir Naufal Rifqi Mohd Rashid muncul johan qari manakala pelajar Tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan, Ipoh, Nurul Syafiqah Nardi muncul johan qariah.

Mereka membawa pulang hadiah berupa tunai bernilai RM2,000 beserta sijil.

Naib johan qari ialah Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan pemenang tempat ketiga Muhammad Azhad Asfa Alang Hashim, masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000.
Naib johan, Nur Syabila Mohamad Fairos dan pemenang tempat ketiga, Umairah Muhamad Yusri, masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000.

Ujian Tilawah Al-Quran Dalam Rakaman Video Peringkat Negeri Perak diadakan buat julung kalinya dengan kerjasama Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).
Ia diadakan pada 12 hingga 18 Mei lalu semasa PKP dikuatkuasakan yang melibatkan sebanyak 49 penyertaan qari dan 21 penyertaan qariah yang berumur antara 15 dan 21 tahun.