IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima dua kunjungan hormat daripada empat ketua jabatan baharu di pejabatnya, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhatat Nayan.

Kesemua Ketua Jabatan berkenaan tiba di pejabat Menteri Besar, pada 9.30 pagi bagi memulakan kunjungan hormat berkenaan.

Kunjungan berkenaan melibatkan Pengarah Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri, Yahaya Sani, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri, Muhammad Sawaddee, Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Negeri, Muhammad Faizal Shah Safian Suri dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Benderi Dasril.

Dilahirkan di Teluk Medan, Bagan Serai pada 28 Ogos 1966, Yahaya, 51 sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah 1, Bahagian Infrastruktur Komersial MARA mulai 17 April hingga 20 Ogos 2017.

Bapa kepada dua anak ini juga berpengalaman luas dalam bidang memproses pinjaman (kemudahan perniagaan) dan seterusnya melatih dan membantu usahawan Perusahaan Lecil dan Sederhana (PKS) dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Dalam pada itu, seorang lagi ketua jabatan, Muhammad Sawaddee, 38 pernah berkhidmatan sebagai Pembantu Penolong Pengarah, Penjagaan Kesihatan, Pendidikan dan Hospitaliti MIDA mulai 1 Mac 2016 hingga 23 April 2017.

Bapa kepada dua anak ini, dilahirkan di Kuala Lumpur pada 13 Julai 1979 dan berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur dalam bidang Kejuruteraan Automotif.

Pernah menjawat jawatan selaku Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput selama empat tahun (2011-2017), dilihat memberikan kelebihan kepada Muhammad Faizal Shah 38, untuk menggalas tugas selaku Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Negeri.

Telah berumahtangga, anak jati Perak yang dilahirkan pada 30 September 1979 itu juga adalah graduan dalam bidang Sains Komputer dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komunikasi Universiti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Benderi Dasril, 42, dilihat memiliki pengalaman yang luas dalam budang Pendidikan Sains Sukan.

Telah berumahtangga, Benderi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dalam bidang Sains Sukan dilihat mampu memikul tanggungjawab selaku Pengarah di Majlis Sukan Negeri (MSN), Perak.

-Sinar Harian