KUCHING : Seorang aktivis politik mengkritik kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang menteri dibenarkan memberi projek dalam bidang kuasa mereka, dengan menyifatkannya “salah dari segi moral” dan bertentangan janji Pakatan Harapan (PN) untuk tender terbuka.

Francis Paul Siah yang mengetuai Movement of Change for Sarawak, berkata konsep tender terbuka bertujuan menggalakkan proses bidaan dan membasmi rasuah.

“Ini mengejutkan dan lebih membuktikan rakyat Malaysia ditipu sekali lagi, seolah-olah pusingan U oleh PH tidak mencukupi untuk (rakyat) hilang keyakinan terhadap mereka,” katanya

September lalu, Mahathir dilaporkan berkata, Putrajaya akan melaksanakan syarat baru yang akan mengehadkan tender secara langsung untuk kes berkecuali sebagai sebahagian rancangan kerajaan persekutuan untuk membanteras rasuah dalam sektor awam.

Bagaimanapun, minggu lalu, perdana menteri dilaporkan berkata, menteri dibenar memberi projek selagi ia dalam bidang kuasa mereka.

Kenyataan itu dikritik Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang berkata, ia boleh menjejaskan janji PH untuk menghapuskan rasuah dan mewujudkan persepsi pilih kasih dalam kalangan menteri.

Siah berkata, menteri hampir pasti memberi projek kepada ahli keluarga, kawan baik atau penyokong, jika mereka dibenarkan berbuat demikian.

Ini katanya, pasti akan menjadi cara untuk membenarkan rasuah berlaku dalam Kabinet.

Beliau turut mempersoalkan jika anggota Kabinet bersetuju dengan perkara itu atau jika ia adalah keputusan sebelah pihak oleh perdana menteri.

“Kalau begitu, ia mengejutkan tiada menteri membantah tindakan itu yang mereka tahu salah.

“Jika tindakan ini tidak diterbalikkan, PH akan menjadi kerajaan dengan rekod terburuk penipuan dan pusingan U dalam sejarah.”