IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri meluangkan masa menziarahi Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di rumahnya di Kampung Melayu, Sungai Rapat, di sini, semalam.

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol.

Menurut akaun Facebook Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol, mereka tiba di rumah mufti itu kira-kira jam 12.10 tengahari.

Sambil bertanya khabar, mereka turut mendoakan agar mufti itu diberi kesembuhan serta kesabaran atas ujian dihadapi oleh beliau dan keluarga.

Pada 23 Ogos lalu, Harussani dimasukkan ke sebuah hospital swasta, di sini awal pagi ini selepas mengalami serangan strok.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin yang mengesahkan perkara itu berkata, Harussani dikejarkan ke hospital kerana diserang strok selepas solat Subuh.