KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disifatkan hanya ‘berani’ ketika bercakap tentang keadaan ekonomi negara namun realiti sebenarnya negara dalam keadaan ‘ketiadaan wang’.

Itu luahan sinis bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang pada matanya Guan Eng hanya pandai dan berani mengeluarkan kata-kata sahaja.

“Semua orang boleh nampak. Saya tahu Menteri Kewangan ini berani bercakap sahaja tapi sebenarnya tidak ada duit.

“Keadaan ekonomi negara ketika ini tidak menentu langsung. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada hari ini tidak mampu mentadbir dan memacu keadaan ekonomi kepada lebih baik malah telah gagal menguruskan keadaan ini dari awal lagi.

“Tengok sendiri bagaimana nilai ringgit merudum, saham jatuh, pelabur lari dan kini pula penjualan aset-aset negara.

“Punca utamanya adalah ‘keghairahan’ memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga kita telah kehilangan pendapatan sebanyak RM21 bilion setahun sebaliknya mengenakan cara lain untuk mendapatkan kembali hasil sebenarnya tidak membantu.

“Terlalu ketara apabila kita lihat sendiri polisi dan dasar kewangan negara tidak konsisten dan sukar meyakinkan pelbagai pihak termasuk pelabur untuk masuk melabur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum ‘Cabaran Dasar Ekonomi Baru di Era Malaysia Baru’ anjuran Pergerakan Puteri UMNO yang juga dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tidak cukup dengan kerugian RM21 bilion akibat janji-janji manis bagi mendapatkan undi semasa PRU-14, kerajaan PH juga juga dilihat ghairah menjual aset-aset milik negara dengan ‘rakus’ sekali tanpa berfikir panjang.

“Bayangkan, mereka (kerajaan PH) kata tidak ada duit dan terpaksa jual aset, bukan sahaja kita tidak ada keupayaan untuk menambah harta negara sebaliknya kita ghairah menjual aset, katanya