PUTRAJAYA – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohammaddin Ketapi hari ini mengesahkan Ketua Setiausaha di kementeriannya kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, pada masa ini beliau belum lagi dimaklumkan langkah badan penguatkuasa itu membuat siasatan terhadap Datuk Isham Ishak yang dipanggil untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, Isnin lalu.

“Kita kerajaan baru, saya tegaskan di sini kerajaan Pakatan Harapan kerajaan Malaysia baru dan bersih.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan pegawai-pegawai di kementerian ini (Kementerian Pelancongan) mahupun di jabatan ini yang buat salah laku atau terlibat dengan trasuah,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun Mohammadin enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana tidak mahu menimbulkan subjudis terhadap siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki berpangkat ‘Datuk’ berusia 60 tahun yang juga KSU di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan diambil keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Menurut laporan tersebut, individu terbabit yang juga bekas pengerusi agensi kerajaan disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi, dalam mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi pasaran China untuk tempoh 2018 hingga 2020.

Kempen yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta menggunakan peruntukan agensi kerajaan berkenaan.