TUMPAT: Dua lelaki menyamar sebagai pembaca meter elektrik sebelum menyamun seorang warga emas di Kampung Kok Seraya, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 61 tahun bersama isterinya berada di dalam rumah sebelum didatangi dua lelaki dalam lingkungan umur 20-an, yang kononnya ingin memeriksa wayar elektrik.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata dua lelaki terbabit terus masuk ke dalam rumah dan berpura-pura untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, seorang suspek kemudian merentap seutas rantai emas dari leher mangsa yang berbangsa Siam.

“Mangsa mendakwa dia kemudian diacukan objek menyerupai pistol, namun dia tidak dapat melihat dengan jelas senjata itu.

“Suspek kemudian mengambil beg duit dan menendang tangan kiri mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha berwarna putih ke arah Tumpat.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan mangsa tidak sempat mengecam wajah suspek, selain tiada saksi yang berada di lokasi kejadian.

“Pihak kami sedang memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian