KUALA LUMPUR: Menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum menggertak mangsa hingga panik ketakutan.

Malah ada mangsa diugut akan ditangkap dan direman 45 hari selain dikenakan hukuman berat jika gagal melunaskan bayaran diminta.

Mangsa biasanya didakwa mempunyai tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) biarpun ada antaranya tidak memiliki perniagaan.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Zainab, 36, berkata, dia menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan GST sebanyak RM16,000, jam 9 pagi kelmarin.

Katanya, pegawai JKDM itu mendakwa dia mempunyai tunggakan GST kerana didakwa membawa masuk lebih 100 telefon pintar dirampas pihak kastam di Bukit Kayu Hitam, Kedah, tahun lalu.

“Saya menafikan perkara itu namun individu terbabit menyambung panggilan berkenaan dengan individu lain memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Ketika perbualan itu, individu terbabit asyik mendesak saya mengaku melakukan kesalahan itu termasuk meninggikan suara,” katanya.

BBIA4S1Zainab berkata, individu terbabit turut menuduhnya menjual akaun bank bagi mendapat ganjaran sebanyak RM200,000 selain dikatakan mempunyai waran tangkap berkaitan kes pengedaran dadah jenis syabu seberat 16 kilogram.

“Saya juga diminta untuk tidak pergi ke mana-mana balai kerana akan direman sekiranya memberi kerjasama. Pada masa sama, dia memaklumkan boleh membantu namun meminta perkara itu dirahsiakan daripada sesiapa.

“Akibat tertekan selepas dipaksa mengaku kesilapan itu, saya menangis sebelum individu itu memberikan dua pilihan iaitu direman selama 45 hari atau membayar wang jaminan RM5,000,” katanya.

Walaupun berkali-kali Zainab menjelaskan dia tidak terbabit dengan mana-mana kes dimaklumkan, namun lelaki itu terus menengkingnya selain mendakwa dia mengganggu proses siasatan pihak polis.

“Lelaki itu mengarahkan saya memasukkan wang jaminan ke dalam satu akaun milik persendirian menyebabkan saya ragu dan merasakan ia penipuan sebelum menghubungi suami mengenai perkara itu.

“Sebaik selesai menghubungi suami, saya mendapati panggilan itu diputuskan. Tidak lama kemudian, saya menerima mesej berbentuk surat dari Mahkamah Persekutuan bagi menahan saya di WhatsApp.

“Bagaimanapun, suami menasihatkan saya membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya. – HMETRO